Khamis, 22 Disember 2016 | 10:02am

Icardi hukum kesilapan Lazio

PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Lazio pada aksi Serie A di Stadium San Siro, Milan, awal pagi tadi. - Foto AP
PEMAIN Inter Milan, Mauro Icardi menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Lazio pada aksi Serie A di Stadium San Siro, Milan, awal pagi tadi. - Foto AP

MILAN: Mauro Icardi menambah koleksi jaringannya dalam Serie A kepada 14 gol selepas dua kali meledak ketika Inter Milan meraih kemenangan 3-0 ke atas Lazio, awal pagi tadi.

Ketika Icardi gembira selepas Inter meraih kemenangan keempat berturut-turut, bos Lazio, Simone Inzaghi pula terpaksa meratapi kesilapan yang dilakukan pemainnya pada babak kedua.

"Pasukan seperti kami tidak boleh melepaskan tiga gol dalam tempoh 11 minit," katanya.

Lazio berkunjung ke San Siro dengan misi mencari kemenangan yang akan mengangkat skuad Inzaghi ke kedudukan kedua dengan lima mata di belakang Juventus.

Namun, pelawat yang memenangi kedua-dua perlawanan menentang Inter musim lalu, gagal mengulangi pencapaian itu dengan Ciro Immobile dan Felipe Anderson mensia-siakan peluang menjaringkan gol.

Lazio dihukum dalam tempoh 11 minit di babak kedua - pertama apabila pemain tengah Argentina, Ever Banega mengambil kesempatan kesilapan pertahanan Sergej Milinkovic-Savic untuk mengalahkan Federico Marchetti dengan rembatan ke penjuru gawang.

Dua minit kemudian, Icardi menanduk masuk gol kedua untuk meletakkan pemain Argentina itu berada dua gol mengatasi penyerang Roma, Edin Dzeko dan Andrea Belotti (Torino) dalam carta penjaring Serie A selepas meledak gol kedua sembilan minit kemudian. - AFP

Berita Harian X