Isnin, 19 Disember 2016 | 11:30am

Leicester, Ranieri terbaik Personaliti Sukan BBC

LONDON: Leicester City meraih trofi berganda pada anugerah Personaliti Sukan BBC apabila pasukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu memenangi - Pasukan Terbaik Tahunan manakala pengurusnya, Claudio Ranieri dinamakan sebagai Jurulatih Terbaik.

Skuad The Foxes mengejutkan dunia musim lalu apabila menjadi calon bakal disingkir kepada menjadi juara liga, hasil sentuhan bekas pengurus Chelsea itu dan bintang seperti Jamie Vardy, Riyad Mahrez dan N'Golo Kante.

Apabila Ranieri tiba Stadium King Power, kewibawaannya dipersoalkan selepas dipecat oleh Greece susulan kekalahan memalukan kepada negara kerdil, Faroe Islands.

Namun dia hanya membuat sedikit rombakan terhadap skuad yang dibentuk pengurus sebelum itu, Nigel Pearson dengan mempertaruhkan corak serangan balas dan semangat berpasukan yang tinggi sebagai kunci 'memusnahkan' setiap lawannya.

Skuad ini pada awalnya dibarisi pemain 'hingusan' - berbanding setiap pasukan EPL lain - dengan pencari bakat Steve Walsh, yang kini berada di Everton, menjadi antara individu yang memainkan peranan besar dalam membawa pemain yang dianggap permata bola sepak masa kini.

Mahrez dan Kante dipancing daripada liga bawahan Perancis dan satu ketikanya pernah tidak dipandang oleh pasukan utama kerana saiz fizikal mereka yang kecil.

Vardy pula, yang kini menjadi penyerang antarabangsa England, disambar dengan hanya STG1 juta (RM5.5 juta) daripada pasukan bawahan England, Fleetwood.

Ranieri, yang mengetepikan pencabar ataupun pengurus bola sepak yang lain seperti Chris Coleman dan Michael O'Neill, disamping ketua jurulatih Ragbi England Eddie Jones, berkata: "Saya hanya mampu sekali lagi mengucap terima kasih kepada pemain, pengarah dan staf kejurulatihan.

"Sudah pasti tanpa penyokong kami, ia adalah sukar untuk memenangi gelaran EPL musim lalu. Terima kasih semua." - Agensi

Berita Harian X