Sabtu, 17 Disember 2016 | 10:51pm

Chattong bantu Thailand juarai Piala AFF Suzuki 2016

PEMAIN Thailand, Siroch Chatthong (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Indonesia pada aksi Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi. - Foto AFP
PEMAIN Thailand, Siroch Chatthong (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Indonesia pada aksi Piala AFF Suzuki di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam tadi. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Thailand menjulang Piala AFF Suzuki buat kali kedua berturut-turut selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Indonesia pada pertembungan timbal balik, malam tadi.

Kemenangan di Stadium Rajamangala itu menyaksikan Thailand menang menerusi agregat 3-2 selepas tewas 2-1 pada aksi pertama di Indonesia, pertengahan minggu lalu.

Siroch Chatthong muncul wira skuad diberi jolokan Gajah Perang itu dengan meledak kedua-dua gol kemenangan, sekali gus memberikan Thailand kejuaraan kelima kejohanan serantau itu.

Skuad yang dibimbing pemain legenda, Kiatisuk Senamuang, dua tahun lalu mengecewakan Malaysia di pentas final.

Tampil selaku penyandang juara, tuan rumah mendominasi perlawanan dan hampir membuka tirai jaringan menerusi penyerang berbisa, Teerasil Dangda namun cubaannya tersasar.

Sekali pun tidak meledak gol pada perlawanan terbabit, Dangda menjadi tonggak utama Thailand selepas menjaringkan enam gol sepanjang kempen kali ini.

Pada perlawanan itu, Kiatisuk melakukan tiga perubahan berbanding perlawanan pertama dengan menyenaraikan wira 2014, Charyl Chappuis di bahagian tengah dengan Siroch menjana serangan manakala Tanaboon Kesarat kembali mengemudi bahagian pertahanan.

Indonesia pula melakukan satu perubahan dengan menyenaraikan Zulham Zamrun bagi menggantikan tonggaknya yang tercedera, Andik Vermansyah.

Thailand membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi penyudah menarik Chattong dan melengkapkan gol kedua, dua minit babak kedua bersambung.

Kedua-dua gol Thailand berpunca daripada gandingan menarik Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmatan.

Di penghujung perlawanan, Indonesia terpaksa bermain 10 pemain selepas Muhammad Lestaluhu menyepak bola ke kawasan tempat duduk pemain.

Berita Harian X