Ahad, 11 Disember 2016 | 8:48pm

Piala Supermokh persiapan ke Piala Dunia Remaja 2019

KETUA Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Piala Supermokh 2016 dilihat sebagai platform terbaik buat skuad bola sepak remaja negara bagi mendapat pendedahan dalam persiapan meraih tiket ke perlawanan Kelayakan Piala Dunia Bawah 17 (B-17) pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Safirul Azli Abu Bakar berkata sejak kejohanan Piala Supermokh diadakan dua tahun lepas, skuad projek bawah 14 tahun negara semakin matang terutamanya semasa mengawal tekanan ketika perlawanan.

Skuad remaja perlu beraksi cemerlang sekurang-kurangnya sehingga separuh akhir pada Kelayakan Piala AFC bawah 16 tahun untuk beraksi di Piala Dunia B-17 tahun secara automatik pada 2019.

Safirul Azli berkata Piala Supermokh yang bermula esok sehingga 18 Dis ini disertai oleh pasukan yang hebat dan berkualiti dari negara Eropah dan Asia.

"Jumlah pasukan pada Piala Supermokh kali ini sama seperti tahun lepas cuma membezakannya adalah pasukan dari Eropah yang lebih kualiti seperti Paris St Germain dari Perancis, Sao Paulo (Brazil) dan penyandang juara Manchester City (England)," katanya.

"Kita juga teruja untuk bermain dengan pasukan Sporting CP (Portugal) sejak kita menang Piala Iber 2-1 pada 2015," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan pasukan B-12 dan B-14 Piala Supermokh 2016 di Dewan Perdana Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil di sini hari ini.

Safirul Azli juga yakin skuad B-14 mempunyai peluang untuk meraih kedudukan terbaik pada Piala Supermokh kali ini memandangkan dua skuad negara hanya kalah tipis kepada Manchester City di peringkat suku akhir dan separuh akhir.

"Tahun lepas Manchester City menjadi juara. Sebelum itu pasukan itu menang 1-0 menentang Malaysia Cougars di suku akhir kemudian menang penentuan penalti ketika bertemu Malaysia Panthers di separuh akhir.

Kita mahu skuad remaja ini belajar mengawal tekanan ketika perlawanan kerana saingan mereka mempunyai kelebihan daripada fizikal badan yang lebih besar," katanya.

Antara pasukan terkemuka yang menyertai Piala Supermokh bermula esok adalah juara bertahan Manchester City (England), Sporting CP (Portugal), Kawasaki Frontale (Jepun), Sao Paulo (Brazil) dan Buriram United (Thailand).

Skuad bawah 14 tahun negara disertai oleh Malaysia Panthers, Malaysia Tigers dan Malaysia Cougars termasuk pasukan NFDP Selangor. - BERNAMA

Berita Harian X