Khamis, 8 Disember 2016 | 8:52am

Juventus jinak Dinamo Zagreb, pintas Sevilla

PEMAIN Juventus Gonzalo Higuain meraikan jaringannya pada aksi perlawanan menentang Dinamo Zagreb di Turin, Itali. - Foto AP
PEMAIN Juventus Gonzalo Higuain meraikan jaringannya pada aksi perlawanan menentang Dinamo Zagreb di Turin, Itali. - Foto AP

TURIN: Jaringan Gonzalo Higuain dan Daniele Rugani melakar kejayaan Juventus membenam Dinamo Zagreb 2-0 sekali gus mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi ini.

Selepas kedudukan ke pusingan 16 terakhir sudah disahkan, Juventus melayan kunjungan pasukan Croatia itu bagi mengulangi kejayaan 4-0 di Zagreb serta memintas Sevilla untuk berada di kedudukan teratas.

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri berkata skuadnya itu sepatutnya boleh menjaringkan lebih banyak gol sambil menjelaskan: "Adalah penting untuk memenangi perlawanan ini tapi apabila anda bermain dengan pasukan yang terlalu ramai pemain menjaga bola, sukar untuk mencari ruang.

"Sekali Higuain menjaringkan gol, ia menjadi semakin mudah buat kami.

"Di Sevilla, kami memastikan kelayakan kami dan malam ini kami menamatkannya di kedudukan teratas."

Kemenangan keempat Juve dalam kempen ini meletakkan gergasi itu di kedudukan pertama dengan 14 mata, tiga mata di depan Sevilla selepas mereka mencatat seri tanpa jaringan di Lyon.

Jurulatih Zagreb, Ivaylo Petev pula berkata: "Kami hormati Juventus, mereka adalah pasukan yang sangat kuat.

"Kami bolos dua gol tetapi kami adalah pasukan yang sangat mentah dan tidak mempunyai banyak pengalaman di peringkat ini. Tetapi saya gembira dengan pemain saya." - AFP

Berita Harian X