Khamis, 8 Disember 2016 | 12:01am

Zulfadli impi ke Glasgow

 ZULFADLI Zulkiffli . - Foto Goh Thean Howe
ZULFADLI Zulkiffli . - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zukifli menegaskan fokus utamanya pada saingan musim depan adalah untuk sekali lagi layak beraksi pada Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland.

Bekas juara remaja dunia 2011 itu, berkata dia perlu lebih bekerja keras terutama bagi meningkatkan kedudukan rankingnya selain berharap dapat merangkul gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa bagi merealisasikan impian berkenaan.

"Berdasarkan ranking Road to Glasgow 2017, saya menghuni tangga ke-18 iaitu pemain kedua terbaik Malaysia selepas Datuk Lee Chong Wei. Jadi, ini memberikan suntikan semangat untuk saya terus mempamerkan peningkatan dalam prestasi saya.

"Saya akan terus bekerja keras bagi meningkatkan ranking dunia saya. Saya juga mahu meraih seberapa banyak gelaran juara dalam kejohanan antarabangsa tahun depan," kata Zulfadli yang berjaya mara sehingga pusingan ketiga pada penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta, Indonesia.

Berdasarkan peraturan, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membenarkan setiap negara mempunyai dua wakil terbaik dalam setiap acara jika kedudukan ranking mereka berada dalam kelompok 150 dunia.

Jika mengikut ranking dunia, Zulfadli yang berada di kedudukan ke-33 adalah pemain ketiga terbaik negara selepas Chong Wei (1) dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin (23).

Mengulas mengenai prestasinya sepanjang 2016, Zulfadli yang tetap dengan pendirian mahu bergerak secara profesional berbanding menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkata dia gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan penantian bagi bergelar juara.

"Syukur, untuk tahun 2016, saya berjaya mendapat beberapa gelaran juara iaitu Terbuka Brazil dan Terbuka Russia (kejohanan bertaraf Grand Prix). Untuk peringkat universiti, saya memenangi pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN dan perak pada Sukan Universiti Dunia.

"Saya juga gembira dengan penampilan saya dalam kejohanan bertaraf Siri Super apabila beberapa kali berjaya mara sehingga pusingan 16 terbaik manakala Grand Prix Emas sampai suku akhir.

Saya juga berjaya memberi tentangan sengit kepada Chen Long (China) dua kali sebelum tewas selain Son Wan Ho (Korea Selatan)," katanya.

Berita Harian X