Selasa, 6 Disember 2016 | 12:21pm

Chong Wei akan beraksi di Olimpik Tokyo - Hendrawan

CHONG Wei akan beraksi pada temasya Olimpik Tokyo 2020 jika berjaya merangkul gelaran juara pada Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland. - Foto fail NSTP/Rosli Rahmat
CHONG Wei akan beraksi pada temasya Olimpik Tokyo 2020 jika berjaya merangkul gelaran juara pada Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland. - Foto fail NSTP/Rosli Rahmat

KUALA LUMPUR: Jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan percaya Datuk Lee Chong Wei akan beraksi pada temasya Olimpik Tokyo 2020 jika berjaya merangkul gelaran juara pada Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow, Scotland.

Katanya, berdasarkan pengalaman sebagai bekas pemain, keinginan itu pasti akan hadir dalam diri pemain berusia 34 tahun itu terutama selepas menjuarai satu daripada kejohanan utama.

"Saya sebenarnya lebih suka untuk fikir satu demi satu. Tahun depan fokus saya adalah membantu Chong Wei untuk persiapan ke Kejohanan Dunia.

"Namun, jika dia berjaya menjadi juara pada kejohanan itu, saya percaya dia akan meneruskan kerjayanya, termasuk beraksi pada Olimpik Tokyo 2020. Sebagai bekas pemain, saya pernah rasa seperti itu.

"Ketika saya gagal pada Olimpik Sydney 2000 (meraih pingat perak), setahun kemudian saya berjaya menjadi juara dunia. Selepas itu, saya buat keputusan untuk beraksi pada Olimpik seterusnya.

"Namun, disebabkan beberapa faktor saya gagal merealisasikan impian itu. Satu daripada faktor itu adalah disebabkan saya sering mengalami kecederaan selepas Piala Thomas 2002," kata Hendrawan.

Chong Wei yang mula membuat penampilan pada Olimpik Athens 2004 akan berusia 38 tahun apabila temasya berprestij dunia itu berlangsung di Tokyo.

Sebagai rekod, beliau tiga kali meraih perak iaitu pada Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

"Jika menang juara dunia, saya pasti dia akan ada impian untuk Olimpik pula. Namun, ia proses yang panjang kerana pemain yang sudah berusia sepertinya perlu lebih berhati-hati dengan kecederaan.

"Proses pemulihan pasti akan mengambil masa yang panjang jika cedera. Apa pun, kita tunggu sehingga Kejohanan Dunia tahun depan," kata Hendrawan.

Berita Harian X