Jumaat, 2 Disember 2016 | 3:41pm

Ranieri tetap tabik semangat pemain Leicester

SUNDERLAND: Ketika peluang untuk mengekalkan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) tampak kian kabur, pengurus Leicester City, Claudio Ranieri terpaksa menghabiskan lebih banyak masa mempertahankan pemainnya menjelang kunjungan ke Sunderland, esok.

Sejak mencipta kejutan dengan menjulang gelaran Inggeris, musim lalu, skuad kendalian pengurus kelahiran Itali itu ketika ini hanya dipisahkan dua mata dari zon penyingkiran.

PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri.
PENGURUS Leicester City, Claudio Ranieri.

Selain dipaksa menjawab soalan mengenai kejatuhan prestasi pasukannya, Ranieri juga dipaksa menjawab persoalan mengenai kegagalan mendapatkan pemain-pemain berkualiti ke Stadium King Power.

Satu-satunya pemain baru yang berjaya mencetus impak setakat ini ialah pembelian termahal kelab itu, Islam Slimani yang dijangka akan diturunkan di Stadium of Light selepas berjaya menjaringkan lima gol daripada 10 perlawanan sejak tiba dari Sporting Lisbon.

Begitupun, bekas bos Chelsea itu tetap mempertahankan pemain dan berkata: "Pembelian baharu beraksi sangat baik dan saya amat gembira namun ia tidak semestinya apabila anda membawa masuk pemain baru mereka akan bermula dengan baik.

"Riyad Mahrez mula (bermain baik) pada tahun keduanya. Dia memerlukan enam ke tujuh bukan, bayangkan pemain yang lain."

Penyerang yang dibeli dari CSKA Moscow, Ahmed Musa hanya diturunkan dalam kesebelasan utama pada lima perlawanan manakala pemain sayap, Bartosz Kapustka langsung tidak bermain.

Pertahanan yang diperoleh menerusi perpindahan percuma, Luis Hernandez juga hanya tiga kali diturunkan dalam aksi liga manakala penjaga gol, Ron-Robert Zieler juga tidak begitu mengagumkan.

Pemain tengah, Nampalys Mendy yang dibeli dari Nice bagi menggantikan perancang berpengaruh, N'Golo Kante pula hanya baru sekali bermain susulan kecederaan namun dia dijangka diturunkan menentang Sunderland.

"Dia berlatih bersama kami dan mengharungi semua sesi latihan minggu ini tanpa kesakitan," kata Ranieri. "Staminanya masih kurang namun dia bertambah baik.

"Saya perlu memutuskannya namun saya fikir dia OK untuk berada di bangku simpanan. Mungkin dia boleh bermain dalam tempoh setengah jam," katanya. - AFP

Berita Harian X