Khamis, 24 November 2016 | 4:26pm
PENYERANG import JDT, Jorge Pereyra Diaz. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENYERANG import JDT, Jorge Pereyra Diaz. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Diaz diintai kelab Mexico, Eropah

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) kemungkinan tidak akan menggunakan khidmat penyerang import Jorge Pereyra Diaz pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ketua jurulatih JDT, Mario Gomez, dalam kenyataan di laman rasmi JOHOR Southern Tiger semalam, berkata ada kelab dari Mexico dan di Eropah berminat untuk mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Liga Super musim ini.

"Kami menerima tawaran menarik dari kelab di Mexico dan Eropah yang berminat dengan Diaz. Saya rasa kemungkinan besar dia tidak akan berada bersama JDT pada musim depan. Apapun kita lihat dulu," kata Gomez dalam kenyataan ringkas.

Diaz membantu skuad Harimau Selatan merangkul hatrik kejuaraan Liga Super pada musim ini dan menjadi tonggak utama untuk skuad itu memenangi Piala FA buat pertama kali.

Pemain kelahiran La Roja, Argentina itu muncul penjaring terbanyak liga selepas meledak 18 gol sepanjang saingan itu dan bersaing hebat dengan rakan sepasukan, Juan Martin Lucero yang menjaringkan 16 gol.

Pada musim 2015, Diaz dipinjamkan ke kelab Independiente untuk bersaing di Liga Primera Argentina namun kembali menyertai JDT pada musim ini dan beraksi cemerlang untuk membantu kelab dari selatan tanah air itu menjuarai liga dan layak ke separuh akhir Piala AFC.

Seandainya kelab di Mexico atau di Eropah berjaya mendapatkan khidmat Diaz, ia pasti akan memantapkan lagi kewangan JDT tatkala tawaran pasti tinggi untuk mendapatkan khidmat pemain itu.

Berita Harian X