Selasa, 15 November 2016 | 5:39pm

Lampard bakal pulang ke Stamford Bridge

GAMBAR fail, Frank Lampard sewaktu mewakili pasukan Chelsea. - Foto http://www.myfranklampard.com/
GAMBAR fail, Frank Lampard sewaktu mewakili pasukan Chelsea. - Foto http://www.myfranklampard.com/

LONDON: Chelsea akan membuat tawaran mengejut kepada Frank Lampard untuk kembali ke Stamford Bridge sejurus bekas pemain tengah England itu sah meninggalkan kelab New York City.

Pemain berusia 38 tahun itu menghabiskan tempoh selama dua tahun di Liga Major Amerika (MLS), namun akan meninggalkan kelab itu untuk memulakan babak baharu dalam kariernya.

Lampard masih belum memutuskan untuk terus bermain, namun jika dia mahu menggantung butnya, Chelsea akan membuka pintu untuknya kembali ke kelab itu.

Chelsea ketika ini bersedia untuk memberikan jawatan kepada bekas legenda kelab itu, yang memainkan peranan penting kebangkitan mereka di pentas domestik dan Eropah dengan Lampard kekal sebagai penjaring terbanyak dengan 211 gol.

Kelab dari Barat London itu difahamkan terdesak untuk mengelak senario yang berlaku terhadap Arsenal apabila wira mereka, Patrick Vieira, yang kini mengemudi New York City mengambil peranan selaku pengarah teknikal di Manchester City.

Lampard turut membuat kenyataan seolah-olah tidak akan terus bersama New York.

"Ketika masa saya di New York City hampir berakhir, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan mereka terhadap saya selama dua tahun ini.

"Saya juga gembira bermain bersama rakan sepasukan saya. Saya amat bersyukur untuk berpeluang bermain untuk kelab yang hebat dan bandar yang menakjubkan ini," katanya.

Difahamkan, Viera mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Lampard berikutan penyingkiran New York City dalam kempen playoff MLS menentang Toronto di peringkat suku akhir.

Sepanjang dua musim, Lampard sudah menjaringkan 15 gol dalam 29 perlawanan. - AGENSI

Berita Harian X