Ahad, 13 November 2016 | 9:48pm

Hafizh raih satu mata berharga di GP Valencia

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Osman Adnan
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Satu mata berharga berjaya dipungut pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada perlumbaan penutup musim 2016 di Grand Prix (GP) Valencia, Sepanyol, hari ini.

Di sebalik minggu penuh keraguan akibat dihimpit masalah kesihatan, pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu tetap menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 sekali gus menambah pungutan mata keseluruhan.

Hafizh yang memulakan perlumbaan di petak ke-24 di Litar Ricardo Tormo bergelut dengan masalah kesihatan apabila dilanda sakit perut yang menghalangnya daripada beraksi di sesi latihan pertama dan kedua pada Jumaat lalu.

Keputusan itu memaksa pasukannya menggunakan dua jurutera bagi mendapatkan pelarasan terbaik terhadap jenteranya pada hari perlumbaan.

Pelumba Perancis yang juga juara dunia Moto2 2016, Johann Zarco memenangi perlumbaan dengan catatan 43 minit 17.626 saat (s).

Ia diikuti pelumba Switzerland, Thomas Luthi, ketinggalan 3.281s manakala pelumba Itali, Franco Morbidelli melengkapkan posisi podium.

Hafizh yang dijadualkan terus berlumba dalam kelas Moto2 tahun depan melepasi garisan penamat 23.734s di belakang Zarco yang mengesahkan kejuaraan dunia di GP Malaysia, dua minggu lalu.

Keputusan di Valencia menyaksikan Hafizh mengakhiri musim 2016 di kedudukan kesembilan keseluruhan Moto2 dengan mengumpul 117 mata.

Ia melepasi sasaran ditetapkan olehnya dan pasukan pada tahun ini yang beraksi pada musim penuh ketiga iaitu melepasi angka 100 mata.

Berita Harian X