Selasa, 8 November 2016 | 8:42pm

Zulfadli enggan sertai BAM

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkifli. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Zulfadli Zulkifli. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SHAH ALAM: Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkifli terus dengan keputusannya untuk tidak menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengembangkan kariernya.

Malah bekas juara Remaja Dunia 2011 itu menyifatkan dia sudah memiliki segala apa yang ditawarkan BAM sekali gus terus fokus memburu misi mendapatkan lebih banyak gelaran selepas ini. 

"Pada saya, sekarang saya tidak mahu banyak berfikir mengenai tawaran BAM kerana dari sudut pasukan sokongan untuk naikkan prestasi semua saya sudah ada. 

"Universiti Teknologi Mara (UiTM) pun berikan sokongan 200 peratus kepada saya untuk terus ke hadapan jadi adalah lebih baik saya fokus dengan apa yang ada sekarang. 

"UiTM menawarkan saya kepakaran dari segi pembelajaran, akademik dan sukan selain pasukan sokongan. Mereka akan menggunakan pakar di UiTM untuk membantu naikkan saya dalam badminton," kata pemain berusia 23 tahun itu ketika ditemui di Canselori UiTM, hari ini.

Mengulas mengenai kejohanan yang bakal disertai selepas ini, Zulfadli berkata dia akan menyertai Terbuka China 2016 bertaraf Super Series Premier bermula pada Selasa depan. 

Selepas itu, dia akan menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong Yonex Sunrise 2016 bertaraf Super Series (22 hingga 27 November) dan Grand Prix (GP) Gold  di Terbuka Macau pada 29 November hingga 4 Disember. 

"Untuk China Super Series saya bermula dari pusingan kelayakan, jadi Insya Allah selepas Datuk Wira Lee Chong Wei dan beberapa pemain menarik diri, saya ditawarkan ke undian utama. Namun saya belum tahu siapa lawan kelak. 

"Sasaran saya di Superseries adalah untuk melangkah lebih jauh kerana saya pernah mara ke peringkat 16 terbaik. Kalau boleh masuk ke suku akhir, separuh akhir ataupun lebih tinggi adalah lebih baik. 

"Sebenarnya saya sudah tukar corak pemikiran. Kalau dulu saya selalu fikir pergi kejohanan hendak naikkan ranking, tapi selepas memenangi dua GP Gold (Terbuka Rusia dan Terbuka Brazil), saya pergi ke kejohanan untuk dapatkan gelaran," katanya.

Katanya kemenangan di GP Emas baru-baru ini membantunya meraih keyakinan untuk beraksi bersama lawan terutama sekali bagaimana hendak mengendalikan diri ketika perlawanan akhir.

Dalam perkembangan sama, pemain yang berlatih di bawah kendalian bapanya, Zulkifli Sidek itu mensasarkan untuk Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow dan Sukan Universiti Dunia (Universiade), Taiwan, masing-masing pada tahun depan.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Emritus Datuk Dr Hassan Said, berkata pihak universiti menaruh harapan besar kepada Zulfadli kerana dia mempunyai harapan besar untuk menaikkan lagi rankingnya di dunia.

 "Apa yang kita lakukan adalah untuk memberi sokongan dan bantuan sewajarnya. Kita membantu dari sudut pembelajaran, sokongan asrama, biasiswa kementerian, insentif peralatan untuk berikan dia motivasi, kalau dia perlukan jurulatih kita akan bekalkan," katanya.

Berita Harian X