Ahad, 6 November 2016 | 11:00am

Aubameyang makan besar di Hamburg

PEMAIN Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Hamburg di Hamburg, Jerman. - Foto AFP
PEMAIN Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Hamburg di Hamburg, Jerman. - Foto AFP

BERLIN: Pierre-Emerick Aubameyang meledak empat gol dalam kemenangan 5-2 Borussia Dortmund ke atas kelab bergelut Hamburg.

Aubameyang menebus kesilapannya pada pertengahan minggu dengan mempamerkan ketajaman luar biasa untuk membantu Dortmund menang buat kali pertama dalam lima perlawanan liga.

Penyerang Gabon itu digantung oleh pengendali Thomas Tuchel bagi perlawanan Liga Juara-Juara Rabu lalu, di mana Dortmund menang 1-0 ke atas Sporting Lisbon, kerana terbang ke Milan bersama rakan-rakan Isnin lalu.

Namun selepas jaringan pertamanya, Tuchel seperti sudah memaafkan kesilapan Aubameyang yang hanya memerlukan 27 minit untuk melengkapkan hatrik dan menambah gol keempat selepas rehat.

"Saya melakukan kesilapan dan saya perlu meminta maaf. Saya sudah meminta maaf dengan pasukan dan pengendali," kata Aubameyang yang memulakan pesta gol hanya selepas empat minit perlawanan bermula. - AFP

Berita Harian X