Jumaat, 4 November 2016 | 12:00pm

KRM rancang latihan di Sri Lanka atau NZ

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Adi Safri
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Adi Safri

PUTRAJAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) merancang membawa pasukan tujuh sebelah kebangsaan menjalani latihan di luar negara sebagai sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang hanya berbaki kira-kira 10 bulan lagi.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya, berkata dua pilihan sudah ditetapkan iaitu Sri Lanka dan New Zealand (NZ).

Namun, katanya, buat masa ini badan induk sukan itu sedang menilai negara yang paling sesuai buat pasukan mencari pengalaman sebelum beraksi di halaman sendiri, Ogos nanti.

"Baru-baru ini kami ada mesyuarat jawatankuasa kerja dengan Majlis Sukan Negara dan mereka minta kami bentangkan laporan prestasi latihan dan juga kejohanan.

"Dalam pada itu, kami juga ada mengusulkan antara dua kemungkinan pasukan tujuh sebelah lelaki kita untuk menyertai perlawanan persahabatan ataupun berlatih bersama pasukan Sri Lanka ataupun New Zealand," katanya selepas pelancaran program Get Into Rugby di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 8 (1), hari ini.

Mengulas lanjut, Shahrul Zaman berkata Sri Lanka menjadi antara pilihan berikutan kedudukan negara itu yang terkenal kuat dalam sukan ragbi tujuh sebelah.

"Mereka berada di ranking ketiga Asia. Jadi pilihan pertama adalah Sri Lanka dan yang keduanya New Zealand.

"Apapun, kami akan kaji keberkesanan dan kesesuaian... yang mana satu lebih baik."

Berita Harian X