Jumaat, 4 November 2016 | 11:52am

Kedudukan Andik masih teka teki

 PEMAIN Selangor, Andik Vermansyah. - Foto Osman Adnan
PEMAIN Selangor, Andik Vermansyah. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pemain sayap lincah Selangor, Andik Vermansyah enggan memikirkan spekulasi berhubung masa depannya bersama naib juara Piala Malaysia itu sebaliknya mahu fokus bersama skuad kebangsaan Indonesia menghadapi Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016, hujung bulan ini.

Pemain kelahiran Jember itu dikaitkan dengan kepulangan semula ke Liga Indonesia dengan bekas kelabnya, Persebaya Surabaya dikatakan berminat untuk kembali 'memancing' pemain berusia 25 tahun itu selepas tiga musim berkelana ke Selangor.

Bagaimanapun, Andik yang kini menjalani latihan pusat bersama Skuad Garuda tidak mahu mengulas panjang mengenai khabar angin terbabit dan hanya akan membuat keputusan selepas tamat kejohanan serantau itu nanti.

"Saya sentiasa sayangkan Selangor dan mahu terus kekal menyarung jersi Selangor pada musim hadapan tambahan pula saya masih memiliki kontrak selama setahun bersama pasukan itu dan pastinya saya perlu menghormati kontrak yang ditandatangani itu.

"Namun, saya tidak mahu berfikir mengenai musim hadapan kerana keutamaan pada masa ini adalah untuk membantu skuad kebangsaan Indonesia meraih kemenangan pada Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016," katanya ketika dihubungi BH Sukan, semalam.

Indonesia diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Filipina, juara bertahan, Thailand dan Singapura sekali gus berdepan kemungkinan untuk bertemu Malaysia jika kedua-duanya mara ke separuh akhir.

Sebelum ini, Andik pernah dikaitkan untuk kembali beraksi di Liga Indonesia awal musim lalu, namun penghijrahan keluarnya segera dinafikan selepas dia menandatangani kontrak dua tahun bersama Selangor sekali gus menyaksikan dia terus kekal menyarung jersi The Red Giants sehingga musim 2017.

Pemain yang terkenal dengan jolokan 'Messi Indonesia' itu menjadi watak penting buat Selangor meraih Piala Malaysia musim lalu selain turut menjadi pemain kegemaran ramai dalam kalangan penyokong bola sepak Selangor.

Dengan kemahiran menggeleceknya dan kepantasan yang dimiliki untuk membantu Selangor daripada segi jaringan dan bantuan gol, dia muncul antara pemain import paling menyerlah di Liga Malaysia namun kecederaan yang dialami musim ini menyebabkan prestasinya sedikit merudum.

Berita Harian X