Rabu, 2 November 2016 | 7:45pm

Piala Malaysia diarak ke seluruh negeri Kedah

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyambut ketibaan pemain dan pengurusan pasukan negeri yang membawa pulang Piala Malaysia di pekarangan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam. - Foto Amran Hamid
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyambut ketibaan pemain dan pengurusan pasukan negeri yang membawa pulang Piala Malaysia di pekarangan Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, semalam. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengadakan siri jelajah perarakan Piala Malaysia ke 12 daerah di negeri ini bagi memberi peluang kepada rakyat melihat lebih dekat simbol kejayaan dimenangi Helang Merah.

Menteri Besar yang juga Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata majlis kesyukuran turut dirancang diadakan di setiap perhentian membabitkan 12 daerah itu bagi menghargai sokongan semua peminat yang mengidam Piala Malaysia sejak lapan tahun lalu.

"Kita setuju piala ini dibawa ke 12 daerah untuk dipamerkan kepada penyokong dan akan melantik satu jawatankuasa dari KFA dan pejabat Menteri Besar bagi memperincikan acara itu kelak.

"Namun, kita jangka acara ini akan diadakan seawal-awalnya bulan ini sebab kita tak ada banyak masa," katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Bashah menghadiri majlis ramah mesra dan penyerahan bendera negeri Kedah kepada pasukan Piala Emas Raja-Raja Kedah yang akan ke Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menyertai kejohanan itu.

Ahmad Bashah berkata, beliau berharap kunjungan piala ini ke pelusuk negeri Kedah dapat meniup lebih semangat kesukanan dalam kalangan rakyat Kedah dengan menekankan semangat muafakat.

Katanya, beberapa barisan pemain utama dijangka berarak sekali untuk sama-sama memeriahkan acara jelajah ini bersama peminat bola sepak Kedah.

"Namun kita dimaklumkan tak semua pemain boleh turut serta kerana ada pemain yang sudah bercuti atau terbabit dengan skuad kebangsaan selepas kejayaan meraih Piala Malaysia," katanya.

Semalam, Piala Malaysia yang menjadi milik Kedah, kembali ke negeri Jelapang Padi ini dengan sambutan penuh meriah dan gilang-gemilang kira-kira 30,000 penyokong Helang Merah.

Piala paling berprestij dalam Liga Malaysia (Liga M) itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas, di sini, bersama barisan pemain dan pengurusan skuad, sebelum diarak sepanjang laluan 11.6 kilometer menuju Stadium Darul Aman, di sini.

 

Berita Harian X