Ahad, 30 Oktober 2016 | 2:42pm

Zarco sah kejuaraan dunia Moto2, Hafizh kelima

JOHANN Zarco mengesahkan kejuaraan dunia kategori Moto2 selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah
JOHANN Zarco mengesahkan kejuaraan dunia kategori Moto2 selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia. - Foto Asyraf Hamzah

SEPANG: Johann Zarco mengesahkan kejuaraan dunia kategori Moto2 selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung penuh dramatik, sebentar tadi ketika Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan saingan di tempat kelima.

Pelumba pasukan Ajo Motorsport yang memulakan perlumbaan di petak utama tampak bergelut di awal perlumbaan ketika hujan lebat namun bangkit sebelum melepasi garisan penamat secara berseorangan dengan catatan 45 minit 51.036 saat (s).

Ia adalah kejuaraan dunia Moto2 kedua berturut-turut buat pelumba kelahiran Perancis itu yang gagal mengawal perasaannya sejurus mengesahkan kemenangan.

"Perasaannya amat bagus," kata Zarco mengenai kemenangan dunia keduanya. "Ia perlumbaan yang baik buat saya dalam keadaan basah. Saya bukannya pelumba paling pantas di atas litar, namun saya dapat rentak yang baik dan bersaing dengan baik.

"Terima kasih kepada semua orang yang menyokong saya, pasukan, keluarga dan peminat. Saya amat gembira dengan kemenangan ini."

Dalam pada itu, tempat kelima di Sepang bukan pencapaian terbaik buat Hafizh sepanjang musim ini namun boleh dipuji terutama selepas memulakan perlumbaan di petak ke-14.

Pelumba pasukan PETRONAS Raceline Malaysia itu membuktikan kemampuannya di litar basah apabila pantas meletakkan dirinya di kelompok hadapan di awal perlumbaan

Seorang lagi pelumba negara, Ramdan Rosli menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 - keputusan yang boleh dianggap baik buat pelumba wildcard negara itu.

Tempat kedua Moto2 di Sepang menjadi milik pelumba Itali, Franco Morbidelli (Estrella Galicia 0,0 Marc VDS) manakala pelumba Jerman, Jonas Folger (Dynavolt Intact GP) melengkapkan kedudukan podium.

Berita Harian X