Ahad, 30 Oktober 2016 | 10:55am

Aksi Giroud buat Wenger bangga

PEMAIN Arsenal, Olivier Giroud. - Foto Reuters
PEMAIN Arsenal, Olivier Giroud. - Foto Reuters

SUNDERLAND: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata Olivier Giroud akan terus menutup mulut pengkritik selepas penyerang Perancis itu menamatkan kemarau gol ketika menewaskan Sunderland, malam tadi.

Giroud yang masuk sebagai pemain gantian meledak dua gol - gol pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris sejak Mei lalu - ketika The Gunners melakar kemenangan 4-1 ke atas Black Cats.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua kejohanan kepada 14 perlawanan.

Ia juga membolehkan mereka kekal sebagai tiga kelab yang berkongsi kedudukan pendahulu liga bersama Manchester City dan Liverpool dalam misi memburu gelaran juara selepas kali terakhir melakukannya pada 2004.

Giroud, 30, masih belum membuat penampilan dalam kesebelasan utama untuk saingan musim ini.

Bagaimanapun, dia membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila menjaringkan dua gol selepas lima minit dibawa masuk pada babak kedua di Stadium of Light.

"Daripada aspek mental, Olivier sangat menakjubkan. Dia kekal kuat setiap kali kelibatnya dipersoalkan dan memberikan jawapan yang terbaik di atas padang, saya sangat meminatinya.

"Dia sudah mengharungi pelbagai soalan yang sukar malah sebelum kempen Euro di Perancis lagi. Dia dipersoalkan oleh penyokong tetapi selepas itu semua orang menyokongnya," kata Wenger.

Dua lagi gol Arsenal dijaringkan Alexis Sanchez manakala Sunderland meraih gol sagu hati menerusi Jermain Defoe. - AFP

Berita Harian X