Sabtu, 29 Oktober 2016 | 4:33pm

GP Malaysia: Zarco petak utama, Ramdan buat kejutan

PENDAHULU Moto2, Johann Zarco. - Foto BERNAMA
PENDAHULU Moto2, Johann Zarco. - Foto BERNAMA

SEPANG: Pendahulu Moto2, Johann Zarco mengambil langkah positif dalam pemburuan mahkota kejuaraan dunia 2016 apabila merangkul petak utama Grand Prix (GP) Malaysia, sebentar tadi.

Zarco yang berlumba bersama pasukan Ajo Motorsport ketika ini sedang mengungguli kejuaraan dunia selepas mengumpul 226 mata (m), 22 mata di depan pencabar terdekat, Thomas Luthi dan Alex Rins, 201 mata.

Pelumba kelahiran Perancis yang juga penyandang juara dunia itu jelas sukar dicabar apabila melakukan 2 minit 18.621 saat (s), dua saat lebih pantas berbanding pelumba petak kedua, Franco Morbidelli.

Morbidelli yang akan memulakan perlumbaan di sebelah Zarco, esok mencatat masa kedua terpantas 2:20.755s diikuti Axel Pons melengkapkan barisan depan.

Peluang tampak terbuka buat Zarco apabila Luthi sekadar meraih petak keempat manakala Rins akan memulakan perlumbaan esok di petak ke-23.

Dalam pada itu, hasrat dua pelumba negara dalam kelas Moto2 untuk tampil dengan keputusan lebih positif tidak berjaya apabila gagal menamatkan sesi kelayakan di kedudukan 10 teratas.

Lebih mengejutkan, pelumba wildcard negara, Ramdan Rosli muncul pelumba terbaik apabila meraih petak ke-12 manakala Hafizh Syahrin di petak ke-14.

Ramdan yang beraksi bersama pasukan PETRONAS AHM Malaysia melakukan 2:22.697s manakala Hafizh yang beraksi dengan pasukan PETRONAS Raceline Malaysia mencatat 2.23.213s.

Berita Harian X