Rabu, 26 Oktober 2016 | 7:07pm

Navy C juara boling padang Piala MOHE-Mahsuri

ATLET yang menyertai bergambar kenangan bersama Hazally dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahat Murat. - Foto Sportflex Malaysia
ATLET yang menyertai bergambar kenangan bersama Hazally dan Pegawai Daerah Langkawi, Isahat Murat. - Foto Sportflex Malaysia

LANGKAWI: Regu Navy C daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memenangi saingan boling padang bagi merebut Piala MOHE-Mahsuri selepas menewaskan gabungan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur (KKL) dalam aksi final di sini.

Kejayaan itu membolehkan Navy C membawa pulang trofi kejuaraan edisi 2016 selain wang tunai berjumlah RM3,000 manakala pasukan KKL menerima RM1,500 selaku naib juara.

Gandingan Nurul Faeizah Kasim dan Mohd Sapifie jelas terlalu unggul buat Mohd Yusof Haron dan Dayang Lapuan Zalifah apabila tewas dengan catatan 11-9 pada perlawanan di Kompleks Sukan Lembaga Kemajuan Langkawi (LADA) itu, kelmarin.

TLDM turut ceria apabila regu Navy B meraih tempat ketiga yang dikongsi bersama Institut Pengajian Tinggi Malaysia (IPTM A) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.

Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Hazally Jali berkata pihaknya bersama peneraju Pusat Sukan Tumpuan Lawn Bowl IPT dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan terus memberikan komitmen pada penganjuran kejohanan sama tahun depan.

"Kementerian komited dalam usaha memperkasakan pembangunan sukan di peringkat IPT serta bersedia untuk bekerjasama dengan agensi berkepentingan seperti persatuan peringkat negeri dan kebangsaan bagi melonjakkan potensi atlet dan pembangunan sukan negara seperti boling padang," katanya.

Usaha dan sokongan dari pihak kementerian turut disambut baik oleh Setiausaha Agung Persatuan Lawn Bowl Kedah, Datuk Shukri Mohd Ali yang menganggap ia adalah nafas baharu dalam tradisi penganjuran Piala MOHE-Mahsuri sejak mula diperkenalkan pada 2000.

PEMENANG kategori Winner Pool. - Foto Sportflex Malaysia
PEMENANG kategori Winner Pool. - Foto Sportflex Malaysia

"Sokongan KPT pada edisi ini menunjukkan sambutan memberangsangkan dengan penyertaan lebih 96 pasukan dari dalam dan luar negara termasuklah Hong Kong, Singapura dan India," katanya pada majlis penyampaian hadiah.

Sementara itu bagi kategori Plate, johan milik MAKSAK D, untuk sekali gus membawa pulang wang tunai RM500, manakala kedua diraih LADA A (RM300) sementara tempat ketiga dikongsi oleh pasukan India D dan Srikandi C, untuk masing-masing membawa pulang RM200.

Kejohanan selama lima hari itu mendapat kerjasama daripada KPT, USIM dan Persatuan Lawn Bowls Kedah serta disokong LADA.

Turut berlangsung perlawanan kategori beregu campuran membabitkan penyertaan mewakili kelab, negeri, IPT dan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Berita Harian X