Ahad, 23 Oktober 2016 | 12:54pm

Adam kutip lima mata di Phillip Island

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Australia di kedudukan ke-11 dalam perlumbaan yang dipenuhi insiden kemalangan di Phillip Island sebentar tadi.

Kedudukan itu menyaksikan pelumba Drive M7 SIC Racing Team itu mengutip lima mata sekali gus mengumpul 14 mata untuk menduduki tempat ke-27 dalam kutipan mata keseluruhan kejuaraan dunia.

Seorang lagi pelumba negara yang mewakili pasukan Honda, Khairul Idham Pawi gagal menamatkan perlumbaan selepas terbabit dalam insiden kemalangan pada permulaan perlumbaan.

Perlumbaan itu juga terpaksa dihentikan berikutan insiden kemalangan beberapa pelumba sebelum perlumbaan semula 10 pusingan diadakan yang menyaksikan Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo memenangi perlumbaan dengan catatan 16 minit 22.009 saat (s).

Sementara itu, pelumba Itali Andrea Locatelli mencatat 16:27.946s untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dan Aron Canet yang mewakili pasukan Honda meraih tempat ketiga (16:31.603s).

Sementara itu, Hafizh Syahrin turut ditimpa nasib malang apabila terbabit dalam insiden pelanggaran pada pusingan kedua sekali gus gagal menamatkan perlumbaan dalam saingan Moto2.

Berita Harian X