Rabu, 19 Oktober 2016 | 7:30am

Mahrez julang kemaraan Leicester

 RIYAD Mahrez. - Foto Reuters
RIYAD Mahrez. - Foto Reuters

LEICESTER: Riyad Mahrez meledak jaringan bagi memberikan Leicester City kemenangan ketiga berturut-turut dalam Liga Juara-Juara Eropah ketika juara Liga Perdana Inggeris musim lalu itu mengatasi FC Copenhagen 1-0, awal pagi tadi.

Jaringan voli menarik Mahrez pada minit ke-40 di Stadium King Power meletakkan skuad kendalian Claudio Ranieri lima mata di persada Kumpulan G dengan rekod 100 peratus dan mereka masih belum melepaskan sebarang gol dalam kejohanan itu.

Dengan Porto menang 2-1 di Club Brugge dalam satu lagi kumpulan, Leicester akan memastikan tempat dalam kelompok 16 terakhir sekiranya mereka menang di tempat lawan berdepan Copenhagen dalam perlawanan seterusnya 2 November ini.

"Kami berada dalam kedudukan yang baik ketika ini," kata Ranieri, dengan pasukannya dijamin sekurang-kurangnya kedudukan pada peringkat kalah mati Liga Europa.

"Kami tahu ia akan menjadi sukar. Copenhagen mencuba hingga penamat. Ia sesuatu yang sukar pada permulaan, namun persembahan mereka adalah bagus."

Leicester bergelut dalam saingan domestik, usaha mereka untuk mempertahankan kejuaraan tampak sudah berakhir selepas empat kekalahan dalam lapan perlawanan, namun di Eropah mereka meneruskan kemaraan walaupun tanpa diberikan perhatian.

Jumlah mata mereka dalam Liga Juara-Juara - sembilan secara keseluruhan - satu melebihi apa yang dikutip mereka dalam liga.

Ranieri pastinya terhutang budi kepada penjaga gol kelahiran Copenhagen, Kasper Schmeichel, yang berjaya menyelamatkan sepakan bahaya Andreas Cornelius sejurus sebelum tamat waktu sebenar. - AFP

Berita Harian X