Khamis, 13 Oktober 2016 | 10:25pm

Liew Daren, Chun Seang mara ke suku akhir

KUALA LUMPUR: Dua pemain profesional negara - Liew Daren dan Tan Chun Seang - mara ke pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Grand Prix Taiwan Masters selepas melepasi pusingan ketiga di Taipei, hari ini.

Liew menewaskan pemain Thailand, Adulrach Namkul 11-9, 9-11, 11-9, 11-7 manakala Chun Seang mengalahkan pemain tuan rumah, Shih Kuei Chun 9-11, 11-6, 11-6, 11-9 pada kejohanan yang menggunakan format pengiraan 11 mata.

Dalam acara perseorangan wanita, Tee Jing Yi menjadi wakil tunggal negara dalam singan suku akhir selepas Ho Yen Mei terkandas pada pusingan kedua.

Jing Ying, selaku pemain pilihan kedua, menyingkirkan wakil Singapura, Yeo Jia Min dengan 11-9, 15-14, 11-3 manakala Yen Mei kalah 7-11, 11-8, 6-11, 8-11 kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hsin.

Dalam acara beregu wanita, dua beregu negara - Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo-Yap Cheang Wen turut layak ke saingan suku akhir.

Mei Kuan-Men Yean mengalahkan beregu Jepun, Nami Matsuyama-Shida Chiharu 11-4, 11-4, 12-10 manakala Yin Loo- Cheng Wen mengatasi beregu Taiwan, Lin Xiao Min-Wu Fang Chien 11-8, 11-7, 11-9.

Sementara itu, cabaran negara dalam acara beregu lelaki berakhir apabila Nur Mohd Azriyn Ayub-Jagdish Singh kalah mengejut 5-11, 9-11, 3-11 di tangan beregu Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Hendra Wijaya pada pusingan kedua.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara beregu campuran pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai US$55,000 (RM231,704) itu. - BERNAMA

Berita Harian X