Jumaat, 7 Oktober 2016 | 8:37pm

Tiket MotoGP hampir habis dijual - Razlan

KUALA LUMPUR: Tiket MotoGP bagai goreng pisang panas!. Itu yang boleh digambarkan dengan kehangatan Grand Prix (GP) Shell Malaysia hujung bulan ini apabila kebanyakan tiket sudah pun habis dijual.

Dengan hanya berbaki tiga minggu sebelum bermulanya Pusingan ke-17 Kejuaraan Motosikal Dunia itu, jualan bagi 'Premier Roving Pass dan tiket bagi K1 Grandstand, F Grandstand, Marc Marquez Tribune, VR46 Tribune, DRIVE M7 SIC Racing Team Tribune dan Club Suite' di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kesemuanya sudah habis dijual.

Bagaimanapun, tiket untuk tempat duduk di Main Grandstand dan C2 Hillstand termasuk pakej Ducati Grandstand yang berharga RM418 masih boleh diperoleh.

"Hari ini, tiga minggu sebelum perlumbaan, kebanyakan tiket untuk tempat duduk yang bagus sudah pun habis dijual," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

"Saya berharap peminat yang masih belum membeli tiket supaya pantas bertindak bagi mendapatkan tiket mereka.

"Dengan sambutan menggalakkan ini, bukan saja daripada penyokong tegar permotoran tetapi juga daripada rakyat Malaysia yang mahu memberi sokongan kepada pelumba negara di trek, saya percaya tiket mungkin tidak dapat dijual di litar ketika hari perlumbaan."

Orang ramai boleh membeli tiket secara dalam talian menerusi laman web rasmi SIC, www.sepangcircuit.com atau menghubungi Ticket Hotline litar di 03-8778 2222.

Berita Harian X