Ahad, 2 Oktober 2016 | 8:52am

Liverpool bangkit untuk duduki tangga kedua liga

PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Swansea City pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Liverpool, Roberto Firmino menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Swansea City pada aksi Liga Perdana Inggeris, malam tadi. - Foto Reuters

LONDON: Liverpool bangkit daripada persembahan buruk untuk menewaskan Swansea City 2-1 dan mara ke kedudukan kedua Liga Perdana malam tadi.

Gagal menandingi lawan pada babak pertama dan ketinggalan kepada Swansea menerusi jaringan Leroy Fer, Liverpool mengubah keadaan selepas rehat dan memungut mata penuh hasil jaringan penalti lewat James Milner.

Liverpool, yang mendapat gol penyamaan menerusi Roberto Firmino sembilan minit selepas bermula babak kedua, sudah menang lima daripada tujuh perlawanan pembukaan.

Mereka kini mengumpul 16 mata, dua di belakang pendahulu Manchester City yang akan menentang pasukan tangga ketiga Tottenham Hotspur (14) malam ini.

"Kami boleh bermain jauh lebih baik pada babak pertama," kata pengurus Liverpool, Juergen Klopp. "Kami terpaksa menerima hari yang buruk.

"Walaupun melalui hari yang buruk, anda perlu terus bertarung berdepan permulaan permainan, anda perlu kembali bangkit."

Berita Harian X