Sabtu, 1 Oktober 2016 | 10:25pm

Milner, Firmino pastikan Liverpool raih tiga mata

JAMES Milner. - Foto Reuters
JAMES Milner. - Foto Reuters

SWANSEA: James Milner membawa Liverpool melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas sepakan penaltinya pada lewat babak perlawanan memastikan kelab itu menewaskan Swansea City 2-1, sebentar tadi.

Sepakan penalti diambil Milner melengkapkan kebangkitan skuad bimbingan Jurgen Klopp dan membolehkan The Reds merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang bakal berdepan Tottenham Hotspur, malam esok.

Liverpool terlebih dulu dikejutkan dengan gol pendahuluan Swansea menerusi Leroy Fer seawal minit kelapan perlawanan di Stadium Liberty sebelum Roberto Firmino mencetuskan kebangkitan buat anak buah Klopp.

Penyerang Brazil, Firmino menjaringkan gol penyamaan pada awal babak kedua dan dia juga menjadi punca Liverpool dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Milner pada lewat babak perlawanan.

Sementara itu, kekalahan kelima dialami Swansea dalam tujuh perlawanan meningkatkan lagi tekanan kepada pengurusnya, Francesco Guidolin yang sebelum ini dikaitkan bakal dipecat.

Ryan Giggs dan Bob Bradley antara nama yang disebut bakal menggantikan tempat Guidolin. - AFP

Berita Harian X