Isnin, 26 September 2016 | 5:41pm

Hafizh Syahrin gagal menyerlah, kekal di tangga kelapan Moto2

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah kecewa dengan prestasinya di Litar MotorLand apatah lagi ia adalah antara trek perlumbaan kegemarannya.

Anak muda berusia 22 tahun itu menamatkan perlumbaan di tangga ke-14 dengan catatan 40 minit 24.322 saat selepas bermula dari petak ke-12.

Hafizh berkata, di sepanjang minggu ini dia bergelut dengan masalah tayar di bahagian hadapan dan juga belakang.

"Kadang-kadang trek yang saya minat (keputusan) tidak semestinya memihak kepada saya," kata pelumba PETRONAS Raceline itu dalam sesi temubual khas menerusi aplikasi Skype bersama peminat di majlis 'Pescao55 MotoGP Live Viewing Party', di sini semalam.

"Saya kecewa sedikit kerana tak dapat buat terbaik untuk peminat di Malaysia mahupun di sini (Aragon). Apapun, saya cuba perbaiki kesilapan ini daripada hari pertama hinggalah ke hari perlumbaan.

"Kami di sini cuba memahami masalah motosikal tetapi saya tak dapat atasi, baik daripada segi (tayar) bergegar dan menyasar di bahagian belakang.

"Ramai pelumba yang laju seperti (Johann) Zarco agak bergelut minggu ini dan perlumbaan juga agak perlahan daripada tahun lalu.

"Kadang-kadang, trek yang tak berapa minat pun saya boleh melakukan keputusan lebih bagus tetapi yang saya minat kadangkala tak dapat buat terbaik... mungkin inilah perlumbaan."

Keputusan di Grand Prix (GP) Aragon itu membenarkan Hafizh meraih dua mata berharga sekali gus menambah kutipan mata keseluruhannya kepada 103 mata untuk kekal berada di tangga kelapan carta kelas Moto2.

Sementara itu, majlis julung kali yang diadakan ini mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan permotoran dengan kehadiran lebih 200 orang.

Mereka sudah mula memenuhi perkarangan Pescao Concept Store untuk menonton di skrin besar disediakan itu sejak jam 4 petang.

Dalam perkembangan Moto3, dua pelumba negara, Khairul Idham Pawi dari pasukan Honda Team Asia dan Adam Norrodin (Drive M7 SIC), masing-masing menamatkan perlumbaan di tangga ke-22 dan 23.

Khairul Idham yang mencipta sejarah meraih kemenangan di GP Argentina dan Jerman menamatkan perlumbaan dengan catatan 40'27.432s manakala Adam, 40'27.722s.

Pusingan ke-15 selepas ini dijadual berlangsung di litar Twin Ring Motegi, Jepun pada 16 Oktober ini.

Keputusan

Moto2

1. Sam Lowes (Federal Oil Gresini Moto2), 40'00.885s

2. Alex Marquez (Estrella Galicia 0,0 Marc VDS), 40'04.174s

3. Franco Morbidelli (Estrella Galicia 0,0 Marc VDS), 40'04.206s

4. Thomas Luthi (Garage Plus Interwetten), 40'06.066s

5. Takaaki Nakagami (IDEMITSU Honda Team Asia), 40'11.607s

.... 14. Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Raceline), 40'24.322s

Moto3

1. Jorge Navarro (Estrella Galicia 0,0), 39'56.973s

2. Brad Binder (Red Bull KTM Ajo), 39'57.003s

3. Enea Bastianini (Gresini Racing Moto3), 39'57.080s

4. Fabio Di Giannantonio (Gresini Racing Moto3), 39'57.135s

5. Joan Nir (Leopard Racing), 39'58.697s

.... 22. Khairul Idham Pawi (Honda Team Asia), 40'27.432s

23. Adam Norrodin (Drive M7 SIC Racing Team), 40'27.722s

Berita Harian X