Selasa, 20 September 2016 | 10:50pm

Piala AFC: JDT mara ke separuh akhir

PEMAIN JDT, Pereyra Diaz (kiri) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang South China AA pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
PEMAIN JDT, Pereyra Diaz (kiri) menjaringkan gol dalam perlawanan menentang South China AA pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

KUALA LUMPUR: Penyandang juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala AFC selepas menundukkan South China AA 2-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Kemenangan ini sekaligus membolehkan anak buah Mario Gomez itu merakam agregat 3-2 sekali gus mengecewakan kelab Hong Kong itu sekali lagi selepas menundukkan lawan sama pada aksi suku akhir Piala AFC musim lalu.

Babak pertama berlangsung hambar dengan tiada jaringan dihasilkan sepanjang 45 minit pertama perlawanan namun peluang keemasan Harimau Selatan itu muncul pada minit ke-50 menerusi sepakan penalti selepas Jorge Pereyra Diaz dijatuhkan dalam kotak penalti.

Namun bekas pemain kebangsaan, Safiq Rahim gagal memanfaatkan peluang untuk meletakkan JDT di hadapan apabila sepakan penaltinya berjaya ditepis penjaga gol pelawat, Tsang Man Fai.

Bagaimanapun, gerakan daripada sebelah kanan sayap JDT menghasilkan gol pertama tuan rumah apabila hantaran Azammuddin Akil disempurnakan Juan Martin Lucero pada minit ke-57 untuk meletakkan mereka mendahului 1-0.

Jorge Pereyra Diaz melebarkan jurang menerusi jaringan kedua tiga minit sebelum tamat perlawanan namun Nikola Komazec mengurangkan defisit menerusi jaringan sagu hati pada minit kelima masa tambahan.

Jaringan Komazec bagaimanapun tidak mampu menafikan kemaraan JDT ke separuh akhir yang kini berada pada landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka tahun lalu.

Berita Harian X