Selasa, 13 September 2016 | 10:48am

Wenger belum pasti senaraikan Giroud

 PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud (kiri). - Foto AFP
PENYERANG Arsenal, Olivier Giroud (kiri). - Foto AFP

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, belum membuat keputusan untuk menyenaraikan penyerang Olivier Giroud dalam kesebelasan utama ketika menentang Paris Saint-Germain (PSG) dalam kempen Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Arsenal yang kali ini bakal memulakan kempen ke-19 berturut-turut Liga Juara-Juara, hanya menggunakan khidmat Giroud sebanyak dua kali dari bangku simpanan musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu memainkan peranan utama Sabtu lalu, membantu menghadiahkan sepakan penalti buat Arsenal pada minit terakhir perlawanan menentang Southampton sebelum ia disempurnakan Santi Cazorla untuk menjadikan keputusan kepada 2-1.

Giroud dilihat bakal mengemudi jentera serangan di Paris, namun Wenger yang mengendali semua kempen Liga Juara-Juara disertai Arsenal mahu meletak percaturan terbaik buat pasukan.

"Saya masih belum memutuskannya. Pemain tidak tahu mengenai pasukan. Saya mempunyai tempoh 24 jam. Adakah dia bersedia untuk bermula? Dia semakin hampir," katanya.

Wenger berkata, Laurent Koscielny mungkin akan berada dalam kesebelasan utama, meskipun mengalami kecederaan. - REUTERS

Berita Harian X