Rabu, 7 September 2016 | 11:47pm

Adam Norrodin jangka saingan sengit di San Marino

MUHAMAD Adam Mohd Norrodin. - Foto Saddam Yusoff
MUHAMAD Adam Mohd Norrodin. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Litar Misano adalah sebuah trek baharu buat Adam Norrodin dan pelumba Drive M7 SIC itu menjangkakan perlumbaan Moto3 yang disertainya akan menjadi sangat sengit pada Grand Prix (GP) San Marino, hujung minggu ini.

"Misano adalah salah satu trek baharu buat saya pelajari. Ia tampak seperti agak teknikal dan saya fikir daripada sudut catatan masa, semua pelumba akan menjadi sangat hampir.

"Melihat pada beberapa catatan masa tahun lalu, hanya satu saat yang memisahkan antara kelompok 18 pelumba terbaik... jadi ia akan menjadi sangat sengit. Sudah pasti, ia juga akan menambahkan keseronokan perlumbaan," kata Adam.

Di GP British minggu lalu, pelumba berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan di tangga ke-23 dengan catatan 39 minit 18.399 saat, 0.117s di belakang seorang lagi pelumba negara dari pasukan Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi.

"Selepas keputusan yang diperoleh di Silverstone, saya sangat berharap dapat berlumba dengan baik di Misano dan membuktikan yang kami juga mampu melakukan sesuatu yang lebih!. Kami perlu berusaha dengan lebih gigih dan saya perlu memberi tumpuan penuh untuk mendapatkan rentak kelajuan dengan lebih pantas.

"Adalah sangat penting untuk menemui rentak itu pada seawal sesi latihan pertama dan jika tidak ia menjadikan kamu di belakang pada minggu itu.

"Saya mesti mempunyai lebih tumpuan dalam sesi latihan pertama di Misano, mempelajari litar dengan pantas, mencari rentak diperlukan dan memecut lebih awal.

"Kejohanan ini sangat kompetitif dan kamu tidak boleh ketinggalan banyak masa. Dengan permulaan yang kukuh, semuanya akan menjadi lebih mudah," kata Adam.

Berita Harian X