Selasa, 6 September 2016 | 9:41pm

Rembau Challenge 2016 terus dapat sambutan

KETUA Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali bersama penaja-penaja selepas majlis sidang media program The Rembau Challenge 2016 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KETUA Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali bersama penaja-penaja selepas majlis sidang media program The Rembau Challenge 2016 di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Acara sukan lasak Rembau Challenge 2016 yang dijadual berlangsung dari 22 hingga 23 Oktober ini bakal menyajikan saingan lebih mencabar berbanding dua edisinya sebelum ini.

Pertandingan lasak yang merangkumi disiplin seperti berbasikal bukit, berlari, berenang, berkayak dan cabaran berhalangan itu, kali ini membabitkan jarak sejauh 135 kilometer (KM) berbanding 90KM pada tahun lalu.

Pada kali ini, peserta perlu menamatkan jarak berkenaan dalam dua hari dengan hari pertama sejauh 80KM dan bakinya pada keesokan harinya.

Selain kategori utama Rembau Challenge yang merangkumi elit berpasukan (lelaki dan campuran), ia juga menawarkan kategori Terbuka (lelaki dan campuran) selain satu kategori baharu iaitu individu (lelaki dan wanita).

"Bagi kategori Terbuka Berpasukan pula, jarak laluan adalah sejauh 62KM, sama seperti sebelumnya," kata Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam teks ucapan perasmian acara yang dibacakan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

"Lebih menarik, selain acara utama, penganjuran kali ini juga akan membabitkan orang ramai terutama masyarakat setempat melalui acara sampingan iaitu Fun Run 4KM, bazar sukan dan pelbagai permainan tradisional yang banyak dimainkan di kampung."

Untuk edisi kali ketiga ini, pihak penganjur menerima sambutan lebih menggalakkan apabila memenuhi kuota pendaftaran iaitu 740 peserta berbanding 538 pada tahun lalu.

"Antara peserta antarabangsa yang mendaftarkan diri adalah dari Sweden, Jepun, Hong Kong, Thailand dan Australia," kata Khairy.

Berita Harian X