Khamis, 1 September 2016 | 9:02am

Leicester pecah rekod kelab ikat Islam Slimani

PENYERANG Algeria, Islam Slimani. - Foto Reuters
PENYERANG Algeria, Islam Slimani. - Foto Reuters

LONDON: Juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester City dilaporkan mencipta rekod perpindahan apabila mengikat penyerang Algeria, Islam Slimani daripada Sporting Portugal dengan harga STG29.7 juta (RM159.90 juta).

Slimani bersetuju mengikat kontrak selama lima tahun dengan pasukan Claudio Ranieri itu dengan reputasi menjaringkan sebanyak 27 gol dalam 33 penampilan liga bagi pasukan Lisbon pada musim lalu.

Perpindahan pemain berumur 28 tahun itu ke Leicester memadamkan rekod kelab bernilai STG16 juta (RM86.07 juta) ketika mendapatkan penyerang Nigeria, Ahmed Musa daripada CSKA Moscow pada Julai lalu.

"Untuk menyertai satu pasukan seperti Leicester City adalah penghormatan besar dan saya tak sabar untuk bermula," kata Slimani menerusi laman web Leicester.

"Saya sering mahu bermain bola sepak dalam EPL dan mempunyai peluang melakukan itu bersama juara bertahan adalah sesuatu yang saya tak boleh tolak.

"Saya menyaksikan kejayaan mengagumkan pada musim lalu dan keghairahan penyokong kelab. Ia adalah sesuatu yang saya tidak sabar untuk turut serta."

Sporting berkata Leicester sebelum ini bersetuju membayar STG25.5 juta (RM137.17 juta) dengan bayaran dikatakan meningkat lagi STG4.2 juta (RM22.59 juta).

Slimani akan bergandingan dengan rakan segera dari Algeria, Riyad Mahrez di Stadium King Power.

Mahrez sebelum ini diundi sebagai Pemain Terbaik selepas memainkan peranan utama dalam kejayaan The Foxes musim lalu dan dia meyakinkan Slimani bakal memperoleh manfaat apabila menyertai skuad Ranieri.

"Kawan saya, Riyad Mahrez bercakap kepada saya mengenai kelab ini dan suasana dengan peminat Leicester di Stadium King Power," kata Slimani. - AFP

Berita Harian X