Ahad, 28 Ogos 2016 | 9:55am

Vardy kembali tajam di depan gawang

PEMAIN Leicester City, Jamie Vardy. - Foto Reuters
PEMAIN Leicester City, Jamie Vardy. - Foto Reuters

LEICESTER: Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri yakin betapa Jamie Vardy akan kembali melakar deretan gol selepas jaringannya membantu The Foxes menundukkan Swansea City 2-1.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu merakam kemenangan pertama musim ini dengan Vardy menjaringkan gol pembukaan di babak pertama.

Kapten, Wes Morgan melebarkan jurang pada separuh masa kedua sebelum tendangan penalti Riyad Mahrez diselamatkan Lukasz Fabianski dan Leroy Fer menjaringkan gol sagu hati buat pelawat.

Vardy gagal menjaringkan gol dalam dua aksi pertama ketika tewas di tangan Hull City dan seri menentang Arsenal, namun Ranieri tidak pernah meragui kemampuan pemain England itu.

"Bagus untuk melihat Vardy kembali menjaringkan gol. Penjaring akan sentiasa menjaringkan gol.

"Dia bergelut pada dua perlawanan pertama namun penjaring tidak pernah melupakan cara untuk meledak gol.

"Tiga mata yang bermakna buat kami dan persembahan yang mengagumkan. Separuh masa pertama yang baik dan sepatutnya kami boleh menjaringkan lebih banyak gol.

"Kami gagal menyempurnakan penalti pada separuh masa kedua dan situasi ini memberikan keyakinan kepada pasukan lawan.

"Aksi yang sukar dalam cuaca yang buruk. Kami seperti bermain polo air." - Agensi

Berita Harian X