Ahad, 21 Ogos 2016 | 4:19pm

27 peserta tamat Kursus Wasit Juri Tahap 3

Peserta Kursus Wasit Juri Tahap 3 Kebangsaan anjuran PESAKA Kuala Lumpur bersama dengan barisan fasilitator dan pentadbiran.
Peserta Kursus Wasit Juri Tahap 3 Kebangsaan anjuran PESAKA Kuala Lumpur bersama dengan barisan fasilitator dan pentadbiran.

KUALA LUMPUR: Seramai 27 peserta selesai mengikuti Kursus Wasit Juri Tahap 3 Kebangsaan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Kuala Lumpur, sekali gus melayakkan mereka dilantik mengadili pertandingan silat di peringkat kebangsaan dan negeri.

Kursus yang diadakan selama lima hari di Kompleks PESAKA Kuala Lumpur, Bandar Tun Razak, Cheras itu dihadiri ahli silat dari pelbagai pertubuhan badan gabungan, antaranya, Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM), Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) dan Pertubuhan Seni Silat Gayong Fatani (PSSGF).

Hasil kerjasama PESAKA Kuala Lumpur dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MASWIP), kursus yang menekankan aspek pengadilan dalam Silat Olahraga (Tanding) dan Regu (Jurus Wajib) dikendalikan fasilitator dari PESAKA Malaysia, Kamarul Ariffin A. Latib, dan dibantu Azlan Rais.

Kamarul yang juga Setiausaha Teknikal PESAKA Malaysia, berkata kebanyakan peserta dapat menguasai semua aspek penting untuk layak dilantik sebagai wasit juri kelas tiga kebangsaan dan sebahagiannya sudah amat bersedia diturunkan bertugas pada bila-bila masa.

"Kualiti kursus kali ini agak cemerlang kerana mereka dapat menguasai undang-undang dengan baik. Malah, dalam bahagian sukar iaitu menghafal 99 gerakan dalam acara regu juga, semua peserta dapat menyudahkannya tanpa masalah.

"Ini satu bonus kepada jawatankuasa teknikal PESAKA Malaysia amnya dan PESAKA Kuala Lumpur khususnya kerana semua 27 peserta ini masih muda dan mempunyai semangat yang kuat untuk memartabatkan sukan silat.

"Kebetulan, sudah agak lama PESAKA Kuala Lumpur tidak mengadakan kursus seumpama ini dan ia sangat bertepatan untuk memenuhi keperluan badan itu sendiri dalam penganjuran pelbagai acara seperti Kejohanan 5x5 Sekolah-sekolah Kuala Lumpur minggu hadapan dan program martabat busana di bandaraya," katanya.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Setiausaha Agong PESAKA Kuala Lumpur, Abdul Raof Abdullah.

Peserta dari PSSPGM, Husnizaim Abdul Wahab dipilih sebagai peserta terbaik kursus terbabit, sekali gus terus layak untuk diturunkan sebagai wasit juri dalam kejohanan 5x5 yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras pada 27 dan 28 Ogos ini.

"Pemilihan Husnizaim sebagai peserta terbaik kerana komitmennya yang tinggi selain kemampuannya menyudahkan semua jurus dalam acara regu dengan baik meskipun layak digelar peserta 'otai' dalam kalangan yang lain.

"Malah, perwatakannya dalam mengendalikan pertandingan simulasi sebagai wasit amat baik dengan memiliki gaya serta suara yang lantang, selain menguasai undang-undang dengan cemerlang," kata Kamarul.

Berita Harian X