Jumaat, 19 Ogos 2016 | 6:56am

Pandelela ke-11, Dhabitah ke-9

RATU terjun negara, Pandelela Rinong. - Foto Rosli Rahmat
RATU terjun negara, Pandelela Rinong. - Foto Rosli Rahmat

RIO DE JANEIRO: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong sekadar menamatkan saingan final acara 10 meter platform individu di tangga ke-11 daripada 12 penerjun di Pusat Akuatik Maria Lenk, pagi tadi.

Seorang lagi wakil negara, Nur Dhabitah Sabri bagaimanapun meraih kedudukan lebih baik apabila menamatkan cabaran di tempat kesembilan.

Keputusan yang diraih Pandelela itu menyaksikan penerjun berusia 23 tahun itu gagal mengulangi pencapaian meraih gangsa di London 2012.

Namun, dia tidak harus terlalu kecewa kerana sebelum ini penerjun kelahiran Sarawak itu sudah memenangi perak dalam acara 10 meter platform seirama bersama Cheong Jun Hoon.

Pandelela menghimpun 330.45 mata dalam lima terjunan manakala Dhabitah meraih 338 mata.

Ren Qian dari China memenangi emas selepas mendapat 439.25 mata, diikuti seorang lagi wakil China, Si Yajie (419.40) dan gangsa diraih Meaghan Benfeito dari Kanada (389.20).

Berita Harian X