Khamis, 18 Ogos 2016 | 11:08pm

Pandelela, Nur Dhabitah ke final jam 3 pagi ini

RATU terjun negara, Pandelela Rinong beraksi pada saingan separuh akhir acara 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Maria Lenk, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
RATU terjun negara, Pandelela Rinong beraksi pada saingan separuh akhir acara 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Maria Lenk, sebentar tadi. - Foto BERNAMA

RIO DE JANEIRO: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengesahkan tempat ke final acara 10 meter platform individu di Pusat Akuatik Maria Lenk, sebentar tadi.

Pemenang pingat gangsa acara itu di London 2012 menduduki tempat keenam dengan menghimpun 336.95 mata dalam lima terjunan yang dilakukan.

Turut layak beraksi di final ialah seorang lagi wakil negara, Nur Dhabitah Sabri yang mengumpul 307.65 mata untuk menduduki tempat ke-11.

Berdasarkan keputusan itu, kedua-dua penerjun tiada pilihan selain memperkemaskan lagi terjunan seandainya mahu mengintai pingat dalam aksi final.

Hanya 12 daripada 18 penerjun pada aksi separuh akhir itu layak ke final yang akan berlangsung jam 3 pagi ini waktu Malaysia.

Berita Harian X