Rabu, 17 Ogos 2016 | 11:06pm

Olimpik: Kehadiran ibu, bapa lonjak semangat Pandelela

RATU terjun negara, Pandelela Rinong. - Foto Hasriyasyah Sabudin
RATU terjun negara, Pandelela Rinong. - Foto Hasriyasyah Sabudin

RIO DE JANEIRO: Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berharap kehadiran ibu bapanya, Pamg Joheng dan Hartini Lamim mampu menjadi tonik terbaik apabila dia turun beraksi dalam pusingan kelayakan acara 10 meter platform individu wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk, pagi ini.

Penerjun itu yang memenangi pingat gangsa dalam acara berkenaan di London 2012 mengakui semangatnya tambah membara untuk memperbaiki pencapaian itu.

"Mereka sudah tiba di sini dan akan melihat saya beraksi. Saya sungguh teruja dan harap dapat menggembirakan mereka dengan cuba memenangi emas," kata Pandelela.

Pandelela sebelum ini sudah memenangi pingat perak bersama Cheong Jun Hoong dalam acara 10 meter platform seirama yang juga pingat pertama kontinjen negara.

Selain Pandelela, seorang lagi penerjun negara turut beraksi iaitu Nur Dhabitah Sabri yang akan memulakan aksi sebagai penerjun pertama di pusingan kelayakan itu.

Pandelela pula turun selaku penerjun ke-13.Hanya 18 daripada 28 penerjun terbaik daripada pusingan kelayakan itu akan mara beraksi di separuh akhir, awal pagi Jumaat.

Berita Harian X