Selasa, 16 Ogos 2016 | 8:49am
ATLET judo Mesir, Islam El Shehaby. - Foto AP
ATLET judo Mesir, Islam El Shehaby. - Foto AP

Enggan bersalam, atlet Mesir dihantar pulang

RIO DE JANEIRO: Atlet judo Mesir, Islam El Shehaby sudah dihantar pulang dari Sukan Olimpik, semalam selepas enggan berjabat tangan dengan lawannya dari Israel, kata pegawai sukan.

El Shehaby tewas kepada Or Sasson dalam pusingan pertama kategori heavyweight minggu lalu tetapi pada akhir pertarungan, dia enggan bersama-sama tunduk dan bersalam dengan atlet Israel itu.

Dalam sukan judo, ia adalah adat buat kedua-dua lawan tunduk kepada lawan mereka - tanda hormat di Jepun - dan berjabat tangan selepas pertarungan berakhir.

"Jawatankuasa Olimpik Mesir mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islam El Shehaby dan menyuruh dia pulang ke negaranya," kata seorang jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa selepas mesyuarat suruhanjaya disiplin.

"Suruhanjaya Disiplin (DC) menganggap kelakuannya pada akhir pertandingan adalah bertentangan dengan peraturan 'fair play' dan menyalahi semangat persaudaraan yang terkandung dalam nilai Olimpik.

"DC mengeluarkan teguran yang keras bagi tingkah laku yang tidak sesuai buat atlet."

"Selain amaran keras, DC meminta Jawatankuasa Olimpik Mesir untuk memastikan pada masa akan datang, semua atlet mereka mendapat pendidikan yang betul berkenaan nilai dalam Olimpik sebelum menyertai Sukan Olimpik." - AFP

Berita Harian X