Ahad, 14 Ogos 2016 | 7:03am

Wendy Ng layak ke final

AKSI Wendy pada saingan separuh akhir 3m papan anjal di Pusat Akuatik Maria Lenk Rio, Sukan Olimpik Rio 2016, pagi tadi. - Foto Rosli Rahmat
AKSI Wendy pada saingan separuh akhir 3m papan anjal di Pusat Akuatik Maria Lenk Rio, Sukan Olimpik Rio 2016, pagi tadi. - Foto Rosli Rahmat

RIO DE JANEIRO: Penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee mara ke final acara 3 meter papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk, pagi tadi.

Penerjun itu yang tampil kali kedua di Sukan Olimpik selepas London 2012 mara ke final selepas berkongsi tangga kelima di peringkat separuh akhir.

Wendy mengumpul 324.75 mata bersama penerjun Amerika Syarikat, Abigail Johnston selepas lima terjunan.

"Sudah tentu kemaraan ke final ini satu kejayaan, apatah lagi saya hanya menduduki tempat ke-24 pada penampilan pertama saya di London 2012.

"Jadi saya harap dapat melakukan terjunan lebih baik pada final sekali gus memenangi pingat," katanya yang bernasib baik mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat kedua terakhir daripada 18 penerjun yang layak pada pusingan kelayakan semalam.

Seperti dijangka, saingan separuh akhir itu dikuasai penerjun China, Shi Tingmao yang menghimpun 385 mata, diikuti rakan sepasukan, He Zi (364.05) dan ketiga penerjun Kanada Jennifer Abel (343.45).

Wendy bersama 11 lagi penerjun yang layak ke final akan berentap menentukan pemenang pingat awal pagi esok.

Berita Harian X