Sabtu, 13 Ogos 2016 | 10:35am

Ranieri bimbang Vardy jadi mangsa terjahan

Jamie Vardy
Jamie Vardy

LEICESTER: Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri mahukan pengadil supaya melindungi penyerangnya, Jamie Vardy selepas penyerang berbisa itu bakal menjadi sasaran pertahanan lawan.

Dengan 24 gol yang dijaringkan Vardy musim lalu, Vardy menjadi tonggak dalam membantu The Foxes mencipta kejutan meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu yang akan membuka tirai hari ini.

Namun Ranieri percaya betapa ayam tambatannya itu bakal berdepan tentangan lebih keras daripada pertahanan lawan dalam liga musim ini.

"Saya mengharapkan pengadil lebih peka dan jika ada sesuatu yang tidak kena, mereka perlu memberikan sepakan percuma ataupun penalti.

"Namun Vardy perlu lebih tenang meskipun semua pemain lawan mahu mengekang pergerakannya," katanya.

Ketika ditanya sama ada dia bimbang Vardy bakal berang jika menjadi sasaran terjahan, Ranieri membalas: 'Tidak, dia adalah pemain yang bijak.'

"Sukar untuk menghentikan Vardy ketika dia berada dalam keadaan terbaiknya namun pemain lawan bakal memberikan tentangan sengit kepadanya," katanya. - Agensi

Berita Harian X