Sabtu, 13 Ogos 2016 | 6:56am

Jun Hoong tersekat, Wendy Ng mara

10X Zum
10X Zum

RIO DE JANEIRO: Hajat penerjun negara, Cheong Jun Hoong memenangi pingat kedua di Sukan Olimpik Rio 2016 berkecai apabila dia gagal melepasi pusingan kelayakan acara 3 meter papan anjal individu di Pusat Akuatik Maria Lenk, pagi tadi.

Bagaimanapun, seorang lagi penerjun negara, Wendy Ng bernasib baik melepasi pusingan itu untuk mara ke separuh akhir.

Jun Hoong yang memenangi perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform seirama Selasa lalu, menduduki tangga ke-21 selepas mengumpul 282.25 mata daripada lima terjunan.

Wendy yang beraksi kali kedua dalam acara itu selepas di London 2012 pula mengumpul 299.05 mata untuk menduduki tempat ke-17 daripada 29 penerjun yang bertanding.

Berdasarkan format pertandingan, hanya 18 penerjun terbaik pada pusingan kelayakan itu mara ke separuh akhir esok, dan daripada jumlah itu 12 penerjun terbaik pula layak bertanding di final, Isnin ini.

Berita Harian X