Selasa, 9 Ogos 2016 | 10:27am

Olimpik: Jun Hoong harap tuah gandingan dengan Pandelela

CHEONG Jun Hoong (bawah) sewaktu bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri pada acara 3 meter papan anjal seirama di Rio 2016, kelmarin. - Foto EPA
CHEONG Jun Hoong (bawah) sewaktu bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri pada acara 3 meter papan anjal seirama di Rio 2016, kelmarin. - Foto EPA

RIO DE JANEIRO: Penerjun negara, Cheong Jun Hoong menegaskan dia sudah melupakan episod duka terlepas pingat dalam acara 3 meter papan anjal seirama menjelang acara 10 meter platform seirama di Pusat Akuatik Maria Lenk, awal pagi esok.

Malah penerjun berusia 26 tahun itu berjanji menebus kesilapannya dengan tampil melakukan terjunan mantap apabila turun bergandingan dengan ratu terjun, Pandelela Rinong.

"Apa yang berlaku dalam 3 meter papan anjal seirama kelmarin, sudah saya lupakan. Ini kerana saya mempunyai tugas kedua yang penting dalam 10 meter platform seirama pula.

"Saya harap tidak melakukan kesilapan lagi dan dapat menebusnya pagi esok. Saya tidak mahu mengecewakan gandingan saya lagi," kata Jun Hoong.

Jun Hoong yang menangis sebaik tamat saingan 3 meter papan anjal seirama mengakui kesilapannya menjadi punca dia dan gandingannya, Nur Dhabitah Sabri terlepas pingat gangsa.

Gandingan itu berada dalam posisi baik untuk memenangi gangsa sehingga terjunan ketiga tetapi kesilapan Jun Hoong pada terjunan keempat menyebabkan dia dan Dhabitah terpaksa menggigit jari.

Berita Harian X