Khamis, 28 Julai 2016 | 5:56pm

Aubameyang sasar 3 gelaran Dortmund musim depan

Pierre-Emerick Aubameyang
Pierre-Emerick Aubameyang

BERLIN: Penyerang sensasi Pierre-Emerick Aubameyang mensasarkan gelaran liga bersama Borussia Dortmund musim depan.

Keyakinannya itu bersandarkan kepada langkah pasukannya berbelanja sebanyak $128.5 juta (RM521 juta) untuk mendapatkan lapan pemain baharu sekali gus memecahkan dominasi Bayern Munich dalam jendela perpindahan.

Aubameyang, 27, dikaitkan dengan perpindahan sensasi ke Manchester City, tetapi dia segera memadamkan spekulasi itu dengan berkata dia mahu merangkul gelaran bersama Dortmund, yang mana dia mempunyai kontrak sehingga 2020.

Bayern sudah bergelar juara Bundesliga untuk empat musim terakhir dan akan berdepan Dortmund dalam aksi pembukaan Piala Super Jerman pada 14 Ogos ini.

Skuad kendalian Thomas Tuchel, yang menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim lalu, sudah menjual pertahanan Mats Hummels kepada Bayern, Ilkay Gundogan (Manchester City) dan Henrikh Mkhitaryan (Manchester United).

Namun Dormund pantas mencari pengganti dengan menandatangani tonggak sayap Wolfsburg, Andre Schuerrle dan Mario Gotze dari Bayern Munich, sebahagian daripada lapan pembelian musim panas ini.

"Saya mahu memenangi gelaran liga musim ini bersama Goetze dan Schuerrle di dalam pasukan," kata Aubameyang kepada majalah Sports Bild.

"Perpindahan mereka sangat hebat, mereka akan menambah kekuatan kami dan potensi kami sangat baik. Sasaran kami sekurang-kurangnya merangkul satu piala musim ini," kata pemain terbaik Afrika itu.

Disamping Goetze dan Schuerrle, Dortmund turut berjaya menyambar Marc Bartra dari Barcelona, Sebastian Rode (Bayern), Emre Mor (Denmark), Ousmane Dembele (Stade Rennes), Mikel Merino (Osasuna) dan Raphael Guerrerio (FC Orient). - AFP

Berita Harian X