Ahad, 26 Jun 2016 | 6:18pm

Adam di tempat ke-19, Khairul tercicir

PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin.
PELUMBA Moto3 negara, Adam Norrodin.

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Belanda di tangga ke-19 selepas bermula dari petak kelima terakhir, sebentar tadi.

Adam dari Drive M7 SIC Racing itu mencatat 38 minit 53.182 saat untuk berada dalam kelompok 20 terbaik, tatkala perlumbaan Pusingan 8 musim itu dimenangi Francesco Bagnaia dari Itali.

Lebih manis, kemenangan di Litar Assen itu adalah yang pertama buat dirinya dan pasukan ASPAR Mahindra Team Moto3.

Tempat kedua menjadi milik pelumba dari Itali, Fabio Di Giannantonio dari pasukan Gresini Racing Moto3, manakala ketiga diraih Andrea Migno dari pasukan SKY Racing Team VR46.

Namun malang terus menimpa juara GP Argentina 2016, Khairul Idham Pawi apabila terjatuh di awal perlumbaan sekali gus gagal menambah mata dalam carta keseluruhan.

Adam kini kekal mengumpul lima mata untuk berada di tangga ke-26 keseluruhan manakala Khairul Idham dari pasukan Honda Team Asia ke-17 dengan 29 mata. - AGENSI

Berita Harian X