Rabu, 8 Jun 2016 | 8:09am

Aubameyang semakin hampir sertai Man City

pqc

PIERRE-EMERICK Aubameyang.
PIERRE-EMERICK Aubameyang.

MANCHESTER: Manchester City semakin hampir mendapatkan Pierre-Emerick Aubameyang selepas perbincangan untuk membawa masuk penyerang Borussia Dortmund kian dinoktahkan.

Yuran perpindahan itu dikatakan bakal memecah rekod perpindahan Manchester City dengan dianggarkan STG58 juta (RM342 juta), mengatasi rekod terdahulu apabila membawa masuk Kevin De Bruyne dengan STG54 juta (RM318 juta) musim lalu.

Aubameyang meledak 40 gol musim ini untuk Dortmund sehingga menarik minat beberapa kelab ternama di Eropah.

Barcelona dan Real Madrid dilihat tidak akan melepaskan penyerang utamannya sekali gus menyaksikan City menjadi pilihan utama untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit.

Sumber mengatakan perbincangan sudah diadakan membabitkan kedua-dua pihak dengan The Citizens sedia membantu pengurus baharu mereka, Pep Guardiola pada tempoh perpindahan ini.

Difahamkan, tawaran awal City ditolak oleh Dortmund namun perbincangan baharu berjalan dengan lancar dan kelab itu yakin mereka dapat menyempurnakan pembelian terbabit sebelum musim depan bermula.

Manchester United turut berminat mendapatkan pemain berusia 26 tahun itu namun mereka tidak beraksi dalam Liga Juara Juara.

Guardiola sudah memantau pemain terbabit ketika dia menguruskan Bayern Munich dan sudah menyatakan kepada pengarah sukan City, Txiki Begiristain betapa pemain Gabon itu berada dalam senarai utamanya untuk memperkuat pasukan bagi musim hadapan. - AGENSI

Berita Harian X