Sabtu, 4 Jun 2016 | 6:15pm

Shahrul Zaman kini presiden baharu KRM

PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang baharu, Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Osman Adnan
PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) yang baharu, Datuk Shahrul Zaman Yahya. - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Datuk Wira Amiruddin Embi dari Kedah gagal mempertahankan jawatan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) apabila tewas kepada Datuk Shahrul Zaman Yahya pada pemilihan pucuk pimpinan organisasi berkenaan di sini, hari ini.

Shahrul Zaman yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Perak dan EXCO kerajaan Perak menang dengan kelebihan dua undi selepas memperoleh 19 undi dalam saingan satu lawan satu. Dia akan memegang jawatan itu sehingga 2019.

Pemilihan itu diadakan sempena mesyuarat agung tahunan 2016-2019 KRM di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM).

Walaupun gagal mempertahankan jawatan yang dipegang sejak sejak dua penggal lalu iaitu pada 2010-2013 dan 2013-2016, KRM tetap mengiktiraf sumbangan Amiruddin apabila melantiknya selaku Penasihat.

Selain presiden, jawatan timbalan presiden turut menyaksikan perubahan apabila Velayuthan Tan Kim Song dari Sabah memenangi pemilihan itu dengan kelebihan dua undi selepas memperoleh 19, menewaskan penyandangnya, Tan Sri Abd Halim Karim.

Raimi Mohd Yusof dari Pulau Pinang pula memenangi kerusi naib presiden dengan 22 undi, menewaskan empat calon lain.

Selain Raimi, Amir Amri Mohamad (Terengganu) turut memenangi jawatan sama selepas meraih 21 undi ketika undian semula dilakukan sejurus terikat 15-15 bersama Superitendan Ridzuan Abdul Aziz.

Selain itu, empat ahli jawatankuasa turut dipilih daripada enam calon bertanding iaitu Lee Nyuk Fah (34), Profesor Madya Dr Ahmad Naim Ismail (21), Mohamad Fahmy Abd Jalil (24) dan Noordin Osman (21).

Semua undian dilakukan oleh 36 perwakilan dari seluruh negara.

Berita Harian X