Rabu, 1 Jun 2016 | 11:31pm

Skuad ragbi 7 sebelah jalani latihan mulai Oktober

PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Amiruddin Embi menjawab pertanyaan pemberita pada Majlis Penghargaan Media, malam tadi. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Amiruddin Embi menjawab pertanyaan pemberita pada Majlis Penghargaan Media, malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan mengadakan perjumpaan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi merancang program latihan skuad ragbi tujuh sebelah negara bagi menghadapi Sukan SEA ke-29 di sini, tahun depan.

"Dijadualkan selepas bulan puasa ini, satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja antara KRM dan MSN akan diadakan bagi membincangkan program latihan untuk skuad itu," kata Presiden KRM, Datuk Amiruddin Embi kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, skuad ragbi tujuh sebelah negara akan memulakan latihan selepas Aidilfitri ini.

"Bermula Oktober, skuad ini akan menjalani latihan sepenuh masa sehingga Sukan SEA 2017. Sesi latihan ini telah mendapat kelulusan MSN," katanya.

Mengenai pembinaan stadium dan padang latihan sendiri untuk skuad ragbi kebangsaan, Amiruddin menyerahkan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mengumumkannya.

"Kita (KRM) perlu mempunyai fasiliti sendiri. Sekarang untuk menganjurkan pertandingan kebangsaan pun kita terpaksa berubah-ubah venue. Malah untuk menganjurkan perlawanan Liga Super sebagai persediaan skuad kebangsaan untuk Divisyen 1, kita terpaksa sewa padang di merata tempat.

"Bukan setakat venue, logistik lagi dan sebagainya...pada masa ini semua perkara bukannya murah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin berkata beliau mahu mempertahankan jawatan yang disandangnya itu untuk tempoh satu penggal lagi.

"AGM kali ini memang ada pertandingan dan saya diminta pihak-pihak tertentu untuk terus menerajui KRM untk satu penggal lagi.

"Lebih-lebih lagi kita akan jadi tuan rumah Sukan SEA dan saya diminta supaya ragbi turut menyumbang satu pingat emas kepada negara. Saya mahu memastikan segala persediaan menghadapi Sukan SEA dibuat dengan teratur," katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan KRM akan diadakan Sabtu ini. - BERNAMA

Berita Harian X