Rabu, 25 Mei 2016 | 9:47pm

Piala AFC: JDT 4 Kaya FC 0 (Separuh masa pertama)

PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan menentang Kaya FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam perlawanan menentang Kaya FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala AFC, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah selangkah mara ke suku akhir apabila mendahului Kaya FC dari Filipina 4-0 sebaik berakhir separuh masa pertama saingan 16 pasukan terbaik Piala AFC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.

Juan Lucero menjaringkan gol pertama JDT pada minit ke-14 menerusi sepakan percuma selepas berlaku kekasaran betul-betul di luar kotak penalti pasukan lawan.

Jorge Pereyra Diaz kemudiannya menambah satu gol hasil sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pada minit ke-23.

Tidak cukup dengan itu, JDT menggandakan asakan dan hasil serangan balas pantas menerusi Diaz, Azamuddin Mohd Akil menguis bola ke gawang Kaya FC untuk gol ketiga pada minit ke-32.

Selang lapan minit selepas itu, Azamuddin sekali lagi mencatat nama selaku penjaring menerusi sepakan lencong menarik yang terus menerjah gawang pelawat.

Berita Harian X