Ahad, 22 Mei 2016 | 11:36am

Super KIP janji tunggangan terbaik

KHAIRUL Idham Pawi. - Foto AP
KHAIRUL Idham Pawi. - Foto AP

KUALA LUMPUR: Pelumba berbakat negara, Khairul Idham Pawi yang akan memulakan perlumbaan Moto3 Grand Prix (GP) Itali di petak ketiga, hari ini berjanji akan memberikan yang terbaik ketika perlumbaan di Litar Mugello sekali gus membawa pulang keputusan positif.

Tampak menyinar ketika sesi ujian masa pertama ketika keadaan litar basah, pelumba pasukan Honda Asia itu membuktikan dirinya mampu beraksi dengan baik ketika keadaan litar kering untuk menamatkan kelayakan 0.316 saat di belakang pelumba di petak utama, Romano Fenati dari Itali.

Ia menjadi barisan depan pertama buat pelumba berusia 18 tahun itu sepanjang karier di perlumbaan Moto3 yang bermula tahun ini sejak mencetus fenomena menjuarai GP Argentina, bulan lalu.

Selepas bergelut ketika sesi ujian kedua, kelmarin, Khairul Idham berjaya mengatasi masalah itu dan melakukan catatan terbaik 1 minit 57.605 saat di penghujung sesi kelayakan ketika rakan sepasukannya, Hiroki Ono sekadar melakukan masa ke-11 terpantas.

"Ia sesi kelayakan yang amat bagus kerana memulakan perlumbaan di barisan depan sentiasa penting.," kata Khairul Idham yang turut dikenali sebagai Super KIP.

"Terima kasih kepada pasukan kerana kerja keras dan mencari pelarasan yang baik untuk jentera kami. Perasaan kami kini baik dan masalah di bahagian depan jentera yang saya hadapi kelmarin sudah selesai sepenuhnya.

"Bagi perlumbaan esok (hari ini), saya akan cuba yang terbaik untuk mengekori kelompok depan dan mengharungi perlumbaan yang baik sehingga pusingan terakhir," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi di perlumbaan Moto3, Adam Norrodin sekadar melakukan masa ke-31 terpantas.

Perlumbaan Moto3 GP Itali dijadualkan pada 5 petang ini.

Kedudukan petak perlumbaan Moto3 GP Itali

1. Romano Fenati (ITA) SKY Racing Team VR46 (KTM)

2. Andrea Migno (ITA) SKY Racing Team VR46 (KTM)

3. KHAIRUL IDHAM PAWI (MAS) HONDA TEAM ASIA (HONDA)

4. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Ajo (KTM)

5. Jorge Navarro (SPA) Estrella Galicia 0,0 (Honda)

6. Enea Bastianini (ITA) Gresini Racing Moto3 (Honda)

7. Nicolo Bulega (ITA) SKY Racing Team VR46 (KTM)

8. Francesco Bagnaia (ITA) ASPAR Mahindra Team Moto3 (Mahindra)

9. Aron Canet (SPA) Estrella Galicia 0,0 (Honda)

10. Joan Mir (SPA) Leopard Racing (KTM)

11. Hiroki Ono (JPN) Honda Team Asia (Honda)

12. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Racing Moto3 (Honda)

13. Bo Bendsneyder (NED) Red Bull KTM Ajo (KTM)

14. Lorenzo Dalla Porta (ITA) Schedl GP Racing (KTM)

15. Jorge Martin (SPA) ASPAR Mahindra Team Moto3 (Mahindra)

31. ADAM NORRODIN (MAS) DRIVE M7 SIC RACING TEAM (HONDA)

* 15 terbaik

** Pelumba Malaysia

Berita Harian X