Khamis, 19 Mei 2016 | 1:20am

Kejayaan juara divisyen 1 ARC hasil bantuan KBS

PEMAIN Malaysia, Atunasia Takubu (depan) ketika beraksi pada Kejohanan Ragbi Asia 2016 di Stadium Diraja Selangor, Sabtu lalu. Malaysia menewaskan Singapura 40-20. - Foto BERNAMA
PEMAIN Malaysia, Atunasia Takubu (depan) ketika beraksi pada Kejohanan Ragbi Asia 2016 di Stadium Diraja Selangor, Sabtu lalu. Malaysia menewaskan Singapura 40-20. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia muncul juara Divisyen Satu Kejohanan Ragbi Asia (ARC), baru-baru ini adalah hasil suntikan dana sebanyak RM165,500 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Amiruddin Embi, berkata kejayaan skuad negara muncul juara buat julung kalinya pada kejohanan itu tidak akan dapat dicapai tanpa bantuan dan sokongan KBS serta Majlis Sukan Negara (MSN).

"Sebaik sahaja memenangi Kejohanan ARC Divisyen 2 tahun lepas, KBS telah menyuntik dana sebanyak RM327,500 kepada KRM untuk persiapan pasukan tujuh sebelah dan juga 15 sebelah negara bagi menghadapi kejohanan antarabangsa tahun ini," katanya dalam kenyataan.

Amiruddin berkata, KRM telah menerima peruntukan berjumlah RM250,000 daripada KBS melalui MSN bagi tujuan pengelolaan kejohanan itu yang berjalan lancar sehingga mendapat pujian Presiden Ragbi Asia, Koji Tokumasu yang turut hadir menyaksikannya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan sehingga kini KRM telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM577,500 daripada KBS menerusi MSN untuk menjalankan pelbagai aktiviti di bawah persatuan berkenaan pada tahun ini.

Katanya, baki sebanyak RM422,500 daripada keseluruhan RM1 juta yang dilaporkan akan disalurkan kepada KRM oleh KBS akan diberikan berdasarkan kertas kerja program KRM sepanjang tahun ini yang telah dibentangkan kepada MSN, sebelum ini.

"Baki dana bagi persiapan pasukan tujuh sebelah negara pula (berjumlah RM134,500) akan diperoleh selepas Ramadan sehingga Oktober nanti.

"Pasukan kebangsaan akan memulakan Fasa Latihan Sepenuh Masa yang akan menggunakan peruntukan di bawah program Kita Juara," kata Amiruddin.

Malaysia mencipta sejarah muncul juara Divisyen Satu ARC setelah menewaskan Singapura 40-20 pada perlawanan akhir yang berlangsung di padang Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, baru-baru ini. - BERNAMA

Berita Harian X